18 Jun 2026 – Bertujuan memberi pendedahan kepada masyarakat mengenai gangguan bipolar serta cabaran yang dihadapi oleh individu yang hidup dengan kondisi tersebut. Program ini diadakan bagi meningkatkan kefahaman orang ramai tentang kesihatan mental, sekali gus membantu mengurangkan stigma dan salah tanggapan yang masih wujud dalam masyarakat.
Sepanjang sesi podcast berlangsung, peserta dan pendengar didedahkan dengan penerangan mengenai maksud gangguan bipolar, simptom-simptom yang sering dialami, faktor yang boleh mempengaruhi kesihatan mental serta kepentingan mendapatkan bantuan dan rawatan yang sewajarnya. Selain itu, sesi ini turut mengetengahkan perkongsian pengalaman, cabaran dan inspirasi yang dapat memberikan gambaran lebih jelas tentang realiti kehidupan individu yang berhadapan dengan gangguan bipolar.
Program ini juga memberi penekanan kepada kepentingan sokongan keluarga, rakan-rakan dan masyarakat dalam membantu individu yang mengalami masalah kesihatan mental menjalani kehidupan yang lebih sejahtera dan produktif. Melalui perbincangan yang dijalankan, peserta diharapkan dapat meningkatkan kesedaran mengenai kesihatan mental, memupuk sikap empati serta memahami bahawa individu yang hidup dengan bipolar mampu menjalani kehidupan yang bermakna dengan sokongan, rawatan dan pengurusan yang betul.


