24 Julai 2026 – Program ini bertujuan meningkatkan kesedaran masyarakat mengenai penyakit asma dalam kalangan orang dewasa serta kepentingan mendapatkan diagnosis dan rawatan yang tepat. Peserta didedahkan dengan simptom-simptom asma seperti sesak nafas, batuk berpanjangan, semput dan dada terasa ketat, di samping memahami bahawa gejala tersebut tidak semestinya berpunca daripada panik atau tekanan emosi.
Sepanjang sesi, peserta turut mempelajari faktor-faktor yang boleh mencetuskan serangan asma, kaedah mengawal simptom, penggunaan inhaler yang betul serta langkah-langkah pencegahan bagi mengurangkan risiko serangan. Perkongsian ini turut menekankan kepentingan mendapatkan nasihat daripada profesional kesihatan sekiranya mengalami gejala yang berulang atau berpanjangan.
Diharapkan program ini dapat meningkatkan pengetahuan peserta mengenai pengurusan asma, menggalakkan amalan penjagaan kesihatan yang lebih baik serta membantu mereka menjalani kehidupan yang lebih sihat dan berkualiti.

