Rabu | 16 July 2025 : Webinar Studio Sihat yang bertajuk “Saya Tak Nak Label Anak Saya Autisme! Tapi Kenapa Diagnosis Itu Penting?” telah membuka mata ramai ibu bapa dan penjaga tentang kepentingan memahami serta menerima diagnosis awal bagi anak-anak yang menunjukkan tanda-tanda autisme. Dalam sesi ini, pakar psikologi dan terapi kanak-kanak berkongsi tentang salah faham yang sering berlaku dalam kalangan masyarakat apabila berbicara tentang ‘label’ autisme.
Ramai ibu bapa risau dengan stigma atau tanggapan negatif masyarakat, namun penceramah menekankan bahawa diagnosis bukanlah satu bentuk hukuman, tetapi satu langkah penting untuk mendapatkan sokongan dan intervensi awal. Dengan diagnosis yang tepat, anak dapat dibantu melalui pendekatan pendidikan yang sesuai, terapi tingkah laku dan sokongan sosial yang bersesuaian.
Webinar ini juga menekankan bahawa menerima hakikat adalah kunci kepada perkembangan anak. Tanpa diagnosis, ramai anak-anak terlepas peluang untuk dibimbing secara efektif. Maka, mesej utama webinar ini ialah: diagnosis bukan untuk ‘melabel’, tetapi untuk membuka jalan kepada pemahaman, bantuan dan harapan.


