Khamis | 10 July 2025 : Webinar bertajuk “Dari Serangan Siber Ke Pemulihan : Asas Tindak Balas Insiden & Forensik Digital” merupakan satu inisiatif penting dalam usaha meningkatkan kesedaran dan pengetahuan mengenai keselamatan siber dalam kalangan masyarakat. Dalam dunia digital yang semakin berkembang pesat, ancaman siber seperti serangan malware, pencerobohan data, dan jenayah siber semakin membimbangkan.
Sepanjang webinar ini, para peserta didedahkan kepada langkah asas dalam mengendalikan insiden keselamatan siber, termasuk cara mengenal pasti, bertindak balas dan memulihkan sistem selepas berlaku insiden. Selain itu, aspek forensik digital turut diketengahkan bagi membantu peserta memahami bagaimana bukti digital dikumpul, dianalisis dan digunakan dalam siasatan.
Host turut menekankan kepentingan dokumentasi, penggunaan alat forensik yang betul, serta pematuhan kepada undang-undang dan etika. Webinar ini sangat bermanfaat terutamanya kepada pentadbir sistem, pegawai IT, serta individu yang berminat dalam bidang keselamatan siber.
Secara keseluruhan, webinar ini bukan sahaja memberi pendedahan asas tetapi turut menanam kesedaran tentang keperluan mempunyai prosedur tindak balas yang teratur dalam menghadapi ancaman siber yang semakin kompleks.


