04 Julai 2026 – Program kesedaran keselamatan siber yang bertujuan memberi pendedahan kepada peserta mengenai kepentingan melindungi maklumat peribadi, khususnya kad pengenalan, daripada disalahgunakan oleh pihak yang tidak bertanggungjawab. Program ini memberi kesedaran bahawa perkongsian maklumat peribadi tanpa kawalan boleh mendedahkan seseorang kepada pelbagai risiko seperti kecurian identiti, penipuan kewangan dan penyalahgunaan data.
Sepanjang webinar, peserta didedahkan dengan pelbagai bentuk penipuan yang melibatkan penggunaan kad pengenalan, termasuk taktik yang digunakan oleh scammer untuk mendapatkan maklumat peribadi mangsa. Peserta turut mempelajari langkah-langkah melindungi dokumen pengenalan diri, cara mengenal pasti permintaan maklumat yang mencurigakan serta tindakan yang perlu diambil sekiranya maklumat peribadi telah disalahgunakan.
Program ini juga menekankan kepentingan literasi digital dan amalan keselamatan siber dalam kehidupan seharian agar peserta lebih peka terhadap ancaman yang wujud di dunia digital. Melalui perkongsian ilmu dan panduan praktikal yang diberikan, peserta diharapkan dapat meningkatkan kesedaran, mengamalkan langkah pencegahan yang betul serta menjadi pengguna digital yang lebih berwaspada dan bertanggungjawab dalam melindungi identiti serta maklumat peribadi mereka.


