Salor, 7 Mei 2025 – Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Salor telah menganjurkan Program Celik DELIMA Fasa 1 Tahun 2025 yang berlangsung dengan jayanya di Dewan Sri Salor. Program ini bertujuan memperkasakan penggunaan aplikasi DELIMA dalam kalangan warga sekolah serta meningkatkan kesedaran tentang kesihatan dalam kalangan pelajar. NADI Bandar Satelit Pasir Tumboh bersama NADI Salor, NADI Kampung Pantai Sabak dan NADI Kampung Padang Kala berpeluang menyertai program ini.
Program bermula seawal jam 7.30 pagi hingga 9.30 pagi dan telah melibatkan penyertaan pelajar serta guru-guru SMK Salor. Antara pengisian utama program ini ialah taklimat penggunaan aplikasi DELIMA yang telah disampaikan oleh wakil dari Pusat Sebaran Maklumat Nasional (NADI). Taklimat ini memberi pendedahan berkaitan fungsi, manfaat, dan strategi penggunaan efektif aplikasi DELIMA dalam pembelajaran digital harian.
Selain taklimat teknologi, program ini turut diserikan dengan aktiviti pemeriksaan saringan kesihatan asas yang melibatkan pemeriksaan tekanan darah, bacaan glukosa, dan pemerhatian kesihatan am pelajar. Aktiviti ini diadakan bagi menggalakkan pelajar mengambil berat terhadap penjagaan kesihatan diri sejak di bangku sekolah.
Pengetua SMK Salor, Encik Rosdi bin Mamat, dalam ucapannya menyatakan bahawa usaha memperkasakan celik digital haruslah seiring dengan kesejahteraan kesihatan pelajar. Beliau turut merakamkan penghargaan kepada pihak NADI atas kerjasama dalam menjayakan program ini.
Program ini mencerminkan semangat “Malaysia MADANI” dan komitmen “Berkhidmat Untuk Negara” dalam mendidik generasi masa hadapan yang celik teknologi dan sihat tubuh badan.


